Wednesday, 22 January 2020

5 Tempat Berhantu Di Dunia

Untuk mereka yang suka melancong ke luar negara, mereka menganggap tempat yang cantik dan menarik itu sebagai satu tarikan untuk mereka melihat dan merasa keindahannya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga tempat yang menakutkan di dunia. Walaupun terdapat kisah menarik di sebalik tempat-tempat tersebut, bukan semua orang berani untuk mengunjungi tempat yang akan membuat mereka takut. Berikut merupakan lima tempat yang menyeramkan di dunia:

1. Pulau Boneka yang terletak di Kota Mexico, Mexico



Terletak di kawasan pedalaman Xochimilco, masyarakat yang menetap di sekitar kawasan itu menamakan pulau ini La Isla De Las Munecas yang membawa maksud Pulau Boneka.

Walaupun tidak berpenghuni, pulau ini dipenuhi dengan ribuan boneka yang kelihatan tergantung dan bergelantungan di pokok dan atap rumah. Terdapat juga boneka yang ditemui dalam keadaan fizikal mereka yang tidak lengkap.

Menurut penduduk yang menetap di sekitar pulau tersebut, ‘penghuni-penghuni’ pulau itu sebenarnya hidup. Bukan sahaja mereka dapat mendengar suara jeritan dan tangisan boneka-boneka berkenaan, tetapi kepala anak patung itu akan berpusing dengan sendirinya. Mata mereka juga terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

Kisah pulau ini bermula dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang lemas dan rohnya terus menghantui pulau tersebut. Orang ramai kemudiannya menggantung anak patung di pulau berkenaan untuk menenteramkan roh kanak-kanak itu. Tiada siapa yang berani untuk tinggal di kawasan tersebut walaupun 50 tahun sudah berlalu.


2. Muzium Genosid Tuol Sleng yang terletak di Kemboja



Terletak di pusat bandar Phnom Penh, muzium ini telah mencatatkan pembunuhan beramai-ramai di Kemboja kerana tapak bangunan berkenaan merupakan bekas sekolah menengah yang digunakan sebagai Penjara Keamanan 21 (S-21) oleh rejim Khmer Rouge.

Dianggarkan seramai 20,000 orang telah dipenjarakan di Tuol Sleng dari 1976 hingga 1979. Rutin harian mereka termasuk tahanan akan dipukul sepanjang hari, kuku mereka dicabut menggunakan playar, dikenakan renjatan elektrik dan mereka dipaksa untuk bekerja sepanjang hari tanpa rehat.

Selain itu, tahanan hanya disiram air tiga bulan sekali kerana mereka tidak dibenarkan untuk mandi dan mereka cuma diberikan nasi bubur cair untuk mengalas perut.

Sepanjang pemerintahan Pol Pot, lebih 2,000,000 rakyat Kemboja meninggal dunia kerana kebuluran, diseksa dan dibunuh manakala orang yang terselamat mengalami kecacatan fizikal dan mental.

Tentera Khmer Rouge akan membunuh artis, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama dan mereka yang dianggap sebagai golongan intelek serta sesiapa sahaja yang mempamerkan agama, bangsa atau kedudukan mereka.

Penduduk Kemboja yang hidup semasa pemerintahan rejim berkenaan turut dibunuh, ditangkap atau dipaksa menjadi buruh kasar tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Muzium Genosid Tuol Sleng menempatkan maklumat, gambar dan tengkorak mangsa kekejaman rejim Khmer Rouge.


3. Terowong Kiyotaki yang terletak di Jepun



Dibina pada tahun 1927, terowong Kiyotaki menghubungkan kawasan utara daerah Arashiyama dengan bandar Sagakiyotaki.

Bukan sahaja terowong berkenaan mempunyai kisah yang menakutkan, tetapi ramai turut menganggap tempat ini sebagai pembawa nasib malang, tempat tinggal satu semangat yang jahat, lokasi orang membunuh diri dan pelbagai kisah misteri yang lain.

Panjang terowong ini ialah 444 meter. Mengikut kepercayaan penduduk di sana, angka 4 membawa maksud kematian. Dalam erti kata lain, 444 bermaksud mati mati mati.

Disebabkan terowong berkenaan dibina oleh hamba abdi, ramai yang menerima layanan buruk dan ada antara mereka yang terseksa sehingga meninggal dunia. Kawasan ini juga dijadikan tempat membunuh tahanan perang.

Tidak berhenti di situ, bahagian atas terowong ini juga dikatakan antara tempat membunuh diri yang terkenal di negara itu kerana lokasinya yang terpencil. Penduduk tempatan percaya sesiapa yang melalui kawasan terowong ini akan menerima nasib yang malang.


4. Catacombs Capuchin yang terletak di Itali



Kubur bawah tanah yang terletak di Palermo ini pada awalnya merupakan sebuah biara sebelum biarawan di sana mula menggali terowong di bawahnya.

Selepas biarawan Silvestro meninggal dunia pada tahun 1599 lalu dijadikan mumia dan disimpan di dalam Catacombs, lebih daripada 8,000 orang memilih untuk dikebumikan di sini.

Mayat terakhir yang dikebumikan di Catacombs Capuchin ialah Rosalia Lombaro yang berusia dua tahun ketika dia meninggal dunia pada tahun 1920. Rosalia turut digelar sebagai ‘Sleeping Beauty’ kerana mayatnya dipelihara dengan begitu baik.


Tempat ini kini dibuka kepada pelancong dan pelancong boleh berjalan melalui koridor-koridor sambil melihat mumia di setiap sisi.


5. Hotel Stanley yang terletak di Colorado, Amerika Syarikat


Hotel ini menyajikan pemandangan alam yang luar biasa kerana terletak di kaki gunung Rocky, Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, hotel ini dikenali ramai sebagai salah satu bangunan dengan kisah yang menyeramkan.

Penduduk setempat sering melaporkan penampakan roh isteri pemilik bangunan iaitu Flora Stanley bermain piano di ruang muzik pada tengah malam. Roh Flora sering terlibat dalam aktiviti hotel dan akan menghantui tetamu yang datang.

Terdapat juga roh penjaga hotel itu yang meninggal dunia pada tahun 1911 dan sering melakukan perkara yang dianggap unik untuk tetamu yang bermalam di bilik 217. Roh itu akan mengeluarkan barangan daripada beg tetamu dan menyimpannya di dalam bilik.

Selain itu, hantu kanak-kanak merupakan roh yang kehadirannya kerap dirasakan di hotel berkenaan. Kebiasaannya, mereka akan bermain di kawasan sekitar bangunan termasuk lorong dan bilik hotel.

Hotel ini masih beroperasi sehingga kini dan telah menjadi sumber inspirasi kepada Stephen King untuk menulis novel ‘The Shining’ pada 1977.


No comments:

Post a Comment