Tempat percutian seharusnya mempunyai insfrastruktur yang mampu menarik minat pengunjung daripada setiap pelusuk dunia.
Apakah tempat percutian yang ingin anda pergi?
1. Tasik Kenyir, Terengganu
Rumah perahu! Ketika berada di Tasik Kenyir, anda perlu melawati rumah perahu tradisional yang unik. Tidak kiralah jika ia telah dimodenkan atau tidak, rumah terapung ini perlu dikunjungi oleh setiap pelancong. Selain bersiar-siar di rumah atas air, anda juga boleh menyertai nelayan untuk menangkap ikan atau bersantai sambil meminum teh di atas rumah perahu ini.
Aktiviti-aktiviti ini ialah antara pengalaman yang menarik di Tasik Kenyir. Jika anda ingin tinggal selama lebih daripada satu hari, anda juga boleh menempah seluruh rumah perahu untuk bermalam di sini.
2. Kanching Recreational Forest, Rawang, Selangor
Daripada anda menatap skrin telefon dan komputer pada hujung minggu ini, ayuh lakukan sesuatu yang berbeza! Apa kata anda ajak rakan-rakan anda ke Kanching Recreational Forest di Rawang? Di sana, anda boleh pergi mendaki dan menikmati suasana air terjun yang indah.
Dan air terjun itu? Ia bukan calang-calang air terjun, ia merupakan air terjun yang mempunyai tujuh lapisan! Jika anda ingin sampai ke puncak yang tertinggi, anda perlu mendaki ke setiap lapisan. Dan habuannya? Pemandangan yang tidak akan dilupakan dalam seumur hidup anda!
Selain daripada berpiknik dan bermandi-manda, anda juga boleh mengadakan barbeku di lapisan kelima dan keenam air terjun itu. Cuma pastikan anda bersihkan tempat itu setelah selesai. Psst, ini satu tip untuk anda, tak perlu bawa ais ke sana, celup sahaja minuman tin anda ke dalam air terjun yang sejuk dan ia akan menjadi sejuk serta-merta!
3. Semenyih, Selangor
Hari yang sempurna di Semenyih berbunyi seperti begini: selepas susah-payah mendaki Bukit Broga, anda terus pergi menikmati ikan bakar yang segar! Ini ialah percutian kegemaran kebanyakan orang muda, lebih-lebih lagi mereka yang berada di sekolah menengah dan universiti. Sebenarnya, ramai yang lebih gemar untuk memakan ikan bakar daripada mendaki bukit itu!
Secara jujurnya, anda perlu menyaksikan pemandangan matahari terbit di Bukit Broga sekurang-kurangnya sekali seumur hidup! Apabila anda menatap kecantikan kawasan sekeliling puncak bukit itu, segala penat lelah tubuh anda akan hilang begitu sahaja. Saya syorkan anda mula mendaki kira-kira pukul 5 pagi jika anda mahu melihat suasana terbit fajar itu.
Anda akan tiba semula di kaki bukit pada pukul 8, di mana anda boleh memandu ke tokong berdekatan untuk bersantai-santai. Terdapat taman bunga yang kecil, jambatan gantung dan beberapa tempat yang cantik dan fotogenik bagi anda yang gemar mengambil gambar.
Pada kira-kira pukul 10, kedai ikan bakar bersebelahan tokong itu akan dibuka. Yasss! Walaupun saya sendiri tidak berapa gemar akan ikan, saya rasa ikan bakar di sini sangat sedap. Itu tandanya ikan di sini benar-benar segar dan berbau lazat. Selepas makan, anda boleh menuju ke ladang arnab berdekatan untuk bersiar-siar sebelum mengakhiri hari anda di Semenyih!
Pergi bercuti bukanlah aktiviti yang sukar, lebih-lebih lagi jika anda bercuti di dalam negara sendiri. Ia pastinya suatu peluang yang spontan dan santai. Jadi, jangan risau, terdapat banyak lagi destinasi di Malaysia untuk anda terokai. Jadi, pada hujung minggu ini, apa kata anda pergi mengembara bersama keluarga dan rakan-rakan anda? Cuti-cuti Malaysialah!
4. Teluk Senangin, Perak
Anda mungkin tidak pernah dengar akan Teluk Senangin, tetapi ia merupakan tempat kegemaran masyarakat tempatan di sana! Malah, ia mungkin salah satu tempat yang paling terkenal bagi rekreasi keluarga! Di sini, ibu bapa boleh menikmati pemandangan pantai yang cantik sementara anak-anak melawati pusat pemuliharaan penyu yang berdekatan (tiada bayaran masuk!). Anda juga boleh melihat nelayan-nelayan tempatan berlayar untuk mengutip hasil tangkapan mereka. Suasana santai dan tenang ini memang tiada tandingannya.
Pada waktu malam, anda boleh menikmati juadah makanan laut di restoran yang terletak berdekatan Pantai Remis, kira-kira 10 minit dari pantai itu. Makanan laut di sini ditangkap segar setiap hari dan harganya juga amat berpatutan. Perjalanan ke Teluk Senangin tidak memerlukan perancangan yang terperinci, jadi ia merupakan destinasi yang sesuai untuk ibu bapa yang sibuk pada hari bekerja dan ingin membawa keluarga bersantai pada hujung minggu.
5. Sungai Lima (Pulau Ketam), Selangor
Tanya sahaja rakan-rakan saya dan mereka pasti akan berkata yang saya sering menyebut tentang Sungai Lima sehinggakan mereka sudah muak mendengarnya! Terdapat banyak sebab mengapa saya sering menyebut tentang kampung nelayan ini. Pertama sekali, tidak ramai yang tahu tentang tempat ini walaupun ia amat cantik. Kedua, saya teringin sekali melawati Sungai Lima dan berharap ada seseorang yang boleh membawa saya ke sana!
Jadi, ada apa yang boleh dilakukan di Sungai Lima? Secara jujurnya, anda tidak perlu melakukan apa-apa langsung! Benar, anda cuma perlu bersantai-santai di sini. Anda juga boleh duduk di tepi jeti, minum teh dan nikmati hari anda. Atau cuba makanan ringan, snek dan juadah makanan laut di sini sebelum mengakhiri hari anda dengan suasana matahari terbenam. Itulah percutian yang saya impi-impikan!
No comments:
Post a Comment